JOHOR BAHRU: Cadangan untuk memansuhkan kuasa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam memberi kebenaran kepada ahli baharu bertanding dalam pilihan raya serta pemilihan parti akan dibawa ke mesyuarat parti untuk perbincangan lanjut, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata, beliau sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak menyulitkan urusan pencalonan ahli, dan mengambil pendekatan meluluskan semua permohonan yang telah diproses oleh ibu pejabat parti.
“Kita (akan) bawa (cadangan) dalam mesyuarat, sebab saya punya keputusan hari itu dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) saya kata saya tak mahu mempersulitkan (ahli bertanding).
“Sebab itu bila HQ (ibu pejabat) hantar (senarai permohonan calon) pada saya, saya luluskan semua. Kalau saya lulus sebahagian, sebahagian tak lulus nanti jadi masalah pula… Jadi semua yang sampai ke meja saya selepas diproses HQ sama ada bankrap ke (atau) salah laku ke, saya lulus semua, jadi bagi saya tiada isu,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi secara fizikal bagi pemilihan kepimpinan pusat parti di Berjaya Waterfront Hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung PKR merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan supaya kuasa Presiden dalam menentukan kelayakan ahli baharu untuk bertanding dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelakkan parti dibanjiri oleh individu yang hanya mahu mengejar jawatan.
Sementara itu, mengulas kehadiran Rafizi pada perasmian Kongres Nasional PKR malam ini, Anwar berkata beliau menjangkakan kehadiran Menteri Ekonomi itu selaku Timbalan Presiden parti.
“Saya jangka lah kerana dia Timbalan Presiden, mesyuarat Jemaah Menteri pun dia datang, dia jalan kerja dengan baik seperti biasa bentang kertas kerja, (dan) ulas,” katanya.