KUALA LUMPUR: Keterbukaan pihak berkepentingan di Myanmar untuk menyertai perbincangan secara langsung dengan pemimpin ASEAN disifatkan sebagai perkembangan penting dalam usaha menyelesaikan konflik berpanjangan di negara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, mesyuarat terbaharu di Bangkok yang melibatkan Troika ASEAN dan Menteri Luar Myanmar, U Than Shwe, menunjukkan perubahan sikap yang positif daripada pihak junta tentera.
“Saya fikir kita perlu beri penghargaan kerana secara umum, telah berlaku gencatan senjata, dan pergerakan bantuan kemanusiaan contohnya, telah berjalan lancar tanpa gangguan, termasuk ke kawasan-kawasan lain,” katanya dalam temu bual bersama media ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Anwar turut menyatakan bahawa perkembangan tersebut memperlihatkan kesediaan pihak junta untuk berkompromi dalam hal-hal yang sebelum ini dianggap mustahil.
“Yang penting ialah mereka membenarkan atau bertolak ansur dengan perkara yang belum pernah berlaku sebelum ini, misalnya saya sendiri dapat bertemu dengan mereka. Kami juga meminta Troika hadir, dan mereka semua datang,” katanya.
Perdana Menteri menganggap pertemuan itu sebagai titik permulaan yang baik, dengan menekankan bahawa sebarang penyelesaian terhadap konflik rumit seperti di Myanmar hanya boleh dicapai menerusi pendekatan libat urus berterusan.
“Saya fikir itu adalah permulaan yang baik kerana dalam isu-isu penuh pertikaian seperti ini, penyelesaian konflik mesti dimulakan dengan libat urus,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata telah mengusulkan kepada rakan sejawatnya dari negara anggota ASEAN lain seperti Brunei, Indonesia, Vietnam dan Kemboja agar memainkan peranan lebih aktif melalui pelbagai saluran termasuk diplomatik dan ketenteraan.
Menurut beliau, matlamat utama adalah untuk memastikan gencatan senjata dapat dikuatkuasakan sepenuhnya dan bantuan kemanusiaan boleh disalurkan tanpa halangan birokrasi atau keselamatan.