ALOR SETAR – Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontrak salah seorang Duta Rasmi kelab, CEO Batu, berkuat kuasa serta-merta susulan kontroversi yang membabitkan individu itu yang kini dalam siasatan pihak polis.
Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman Instagram rasmi kelab, KDA FC menegaskan pendirian mereka terhadap isu yang sedang tular di media sosial.
“Pihak KDA FC telah mengambil maklum berkenaan isu membabitkan salah seorang Duta Rasmi KDA FC.
“KDA FC tidak berkompromi dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dari segi undang-undang. Oleh yang demikian, kontrak CEO Batu ditamatkan serta-merta,”* kata kenyataan itu pada malam Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, pempengaruh terkenal di TikTok, dilaporkan telah ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menghantar gambar berunsur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.
Kes tersebut mula mendapat perhatian selepas ibu mangsa dikatakan mengesan tindakan tidak bermoral itu, sebelum ia didedahkan oleh penyanyi dan pempengaruh media sosial, Caprice, di Instagram.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah menahan pempengaruh lelaki berusia 22 tahun itu pada Khamis.
Menurutnya, suspek yang direman empat hari bagi membantu siasatan disyaki telah menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.