Saturday, 15, June, 2024
Utama Sukan Tun Ali tokoh kepimpinan, tenpin boling persatuan dinamik Anugerah SAM-100plus 2023

Tun Ali tokoh kepimpinan, tenpin boling persatuan dinamik Anugerah SAM-100plus 2023

oleh Ammar Haziq

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023.

Individu yang pernah mewarnai landskap politik dan pentadbiran negara ini merupakan seorang yang cukup penting dalam arena sukan tanah air. Kecintaan beliau kepada seni mempertahankan diri tidak perlu dipertikaikan lagi.

Menerajui Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) selama 13 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Meskipun menamatkan khidmat dalam persatuan pada 2023, kecintaannya kepada sukan dapat dibuktikan apabila beliau kini menjadi penaung kepada badan sukan induk itu.

Dalam tempoh kepimpinan Tun Dr Mohd Ali, pelbagai kejayaan diraih skuad karate negara yang sinonim dengan julukan ‘lubuk emas’ di beberapa temasya sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia. Dalam tempoh itu juga pencapaian terbaik Malaysia ialah dengan meraih satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia WKF 2014 di Jerman.

Peranan Tun Dr Mohd Ali bukan sahaja cemerlang di peringkat tempatan malah turut mendapat pengiktirafan peringkat dunia apabila beliau diangkat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF).

Selain MAKAF, Persatuan Silat Malaysia (PESAKA) juga tidak ketinggalan mendapat sentuhan ajaib daripada Tun Dr Mohd Ali yang mengemudi persatuan itu selama 20 yang berakhir pada 2020.

Sepanjang kepimpinan individu berusia 75 tahun itu, PESAKA mencipta deretan gelaran juara dunia.

Sementara itu, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dipilih sebagai penerima anugerah Persatuan Sukan Dinamik Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023.

Skuad tenpin boling negara tidak pernah berhenti daripada mencipta pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa. Ini sudah pasti terhasil melalui pengurusan strategik dan perancangan terperinci pegawai serta pengurusan MTBC.

Mempertaruhkan barisan pemain hebat diketuai Rafiq Ismail yang kekal memegang gelaran jaguh tenpin boling Asia, pengurusan MTBC jelas mempunyai kredibiliti tersendiri.

Pencapaian empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Asia 2023 dan lapan emas, 11 perak dan enam gangsa di Kejohanan Dunia membuktikan kem boling negara sebagai lubuk emas.

Kegigihan MTBC memperhebat pencarian bakat muda menjadi faktor kesinambungan rentak kejayaan Malaysia.

Menurut Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Mubarak, pemilihan Tun Dr Mohd Ali sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 adalah sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam sukan seni mempertahankan diri.

Pemilihan MTBC adalah berdasarkan pencapaian membanggakan serta komitmen persatuan untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tenpin boling sekali gus memastikan boling terus menuai emas di pentas antarabangsa.

“Penglibatan Tun Dr Mohd Ali Rustam dalam arena sukan tidak dapat disangkal. Ia dapat dibuktikan dengan kejayaan kepimpinannya berjaya memacu MAKAF dan PESAKA lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

“MTBC tidak pernah gagal untuk memenuhi jangkaan dan menjadi antara penyumbang utama dalam kejohanan Sukan SEA dan Asia. Tidak ketinggalan juga semua kejohanan rasmi yang diiktiraf – Asia, Kejohanan Dunia dan malah menguasai sepenuhnya liga Profesional Eropah,” kata Mohd Hazreen yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah.

Selain mengiktiraf atlet cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2023, turut diraikan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.

Turut dipertandingkan Anugerah Pengulas Sukan Popular dengan enam calon telah dikenal pasti dan pemenang ditentukan menerusi undian ramai secara dalam talian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com