Sunday, 12, May, 2024
Utama Sukan Nazmi pengadil Malaysia pertama kendali Perlawanan VAR

Nazmi pengadil Malaysia pertama kendali Perlawanan VAR

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta apabila Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid menjadi pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 yang mengunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).


Perlawanan berkenaan berlangsung di Buriram, Thailand yang melibatkan perlawanan di antara Buriram United dan  Zhejiang FC dari China pada semalam.


AFC dan FIFA telah menetapkan syarat yang mana semua pengadili yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR dan Nazmi telah memiliki lesen tersebut sebelum ini melalui program latihan VAR di Arab Saudi.


Nazmi dan dua pembantunya itu akan terus dilantik untuk beberapa perlawanan AFC yang menggunakan VAR.


Sebelum ini AFC juga telah memilih Nazmi dan dua pembantunya itu untuk mengalas tugas pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024.


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat masa ini sedang giat menjalankan latihan dan pendidikan VAR kepada kumpulan seramai 40 orang pengadil. Latihan ini akan tamat pada penghujung Disember 2023.


FAM menjangkakan selepas selesai pelesenan VAR kepada 40 pengadil dan pembantu pengadil tersebut, maka lebih ramai Pengadil AFC Elite dari Malaysia akan diberi peluang untuk mengadili perlawanan tertinggi AFC dan FIFA yang menggunakan VAR.


FAM berharap pengadil elit dari Malaysia iaitu Razlan Joffri Ali, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dan Suhaizi Shukri akan diberi peluang untuk mengadil perlawanan tertinggi AFC.


Perkembangan ini jelas menggambarkan inisiatif Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang berhasrat meletakkan FAM dan Pengadil Malaysia di peringkat tertinggi di Asia dan dunia.


Semoga pengadil bola sepak Malaysia akan terus diiktiraf di pentas tertinggi FIFA dan AFC.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com