Sunday, 15, June, 2025
Utama Negeri Nahas UPSI: MPP UUM lancar derma kilat, berjaya kumpul lebih RM200,000

Nahas UPSI: MPP UUM lancar derma kilat, berjaya kumpul lebih RM200,000

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Keprihatinan rakyat Malaysia sekali lagi terbukti apabila Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengumpul lebih RM200,000 bagi membantu mangsa nahas bas tragis yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.

Kutipan Tabung Kilat Kemalangan yang dilancarkan oleh MPP UUM mendapat sokongan luar biasa daripada pelbagai pihak, termasuk warga universiti dan masyarakat umum.

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi mereka, sehingga jam 3 petang Khamis, jumlah kutipan telah mencecah RM200,810.49 hasil sumbangan ikhlas daripada 12,812 individu.

MPP UUM dalam kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap tragedi menyayat hati itu.

“Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia sesi 2024/2025 ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UUM dan rakyat Malaysia atas keprihatinan yang ditunjukkan,” kata kenyataan tersebut.

Menurut MPP UUM, tabung berkenaan akan ditutup secara rasmi pada Jumaat, 13 Jun 2025, tepat jam 12 tengah hari.

Pemilihan tarikh itu dibuat kerana ia merupakan penghulu segala hari, selain mengambil keberkatan hari berkenaan untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa.

Dalam kejadian Isnin lalu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang mereka naiki terbabas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik. Bas tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim selepas pelajar pulang bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.

Insiden tersebut mengejutkan seluruh negara dan mencetuskan kesedihan mendalam, terutama di kalangan ahli keluarga mangsa serta rakan-rakan mereka.

MPP UUM turut memaklumkan bahawa individu yang ingin menyumbang masih boleh berbuat demikian sebelum tabung ditutup pada hari Jumaat.

Mereka berharap sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.

“Semoga segala bentuk sumbangan yang diberikan dikurniakan ganjaran terbaik oleh Allah SWT dan menjadi asbab kebaikan buat semua,” kata kenyataan MPP UUM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com