LANGKAWI – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dilaporkan hilang dan gagal dihubungi ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Kurau, Perak pada 26 Januari lalu bersama dua kru warganegara Malaysia serta seorang kru warganegara Thailand.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa mengesahkan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan kehilangan vesel yang dilaporkan oleh pemilik vesel, Encik Rama Nair pada 30 Januari yang lepas.
Vesel berkenaan dimaklumkan telah bertolak dari Jeti Kuala Kedah menuju ke Jeti Kuala Kurau pada 26 Januari lalu, sekitar jam 11.30 malam.
Bagaimanapun, sehingga kini, tekong serta kru vesel berkenaan gagal dihubungi.
MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) pada 31 Januari 2025 sejurus menerima laporan dengan meliputi kawasan pencarian sekitar 1,218.9 batu nautika persegi, merangkumi perairan Kuala Kedah hingga ke Kuala Kurau.
Misi pencarian kru serta vesel ini telah melibatkan tiga aset di laut dan sebuah pesawat udara milik Maritim Malaysia selain dibantu oleh dua aset daripada agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin (PPM).
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah dan Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau sebagai pusat operasi.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, diminta untuk menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi talian operasi 24 jam
MRSC Langkawi di talian 04-9662750.