Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan gejala penyalahgunaan dadah dan vape dalam kalangan belia, khususnya anak muda Melayu, yang dilihat semakin meruncing dan perlu ditangani dengan segera.
Menurut beliau, isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk intervensi melalui kaunseling dan usaha dakwah.
“Saya mohon perkara ini dibincangkan dengan serius. Carilah kaedah terbaik, apakah kaunseling, pendekatan dakwah, atau gabungan keduanya, kerana puluhan tahun berlalu, masalah ini masih belum selesai,” katanya ketika berucap pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI bertemakan ‘Guru Pemangkin Patriotisme Negara’, di sini, pada Rabu.
Anwar turut mendedahkan bahawa isu itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, menandakan kesungguhan kerajaan menangani ancaman tersebut secara tuntas.
Perdana Menteri mengakui bahawa masalah ini turut melibatkan kaum lain, namun statistik menunjukkan pengaruhnya lebih besar dalam kalangan anak Melayu.
Justeru, beliau menekankan keperluan tindakan kolektif melibatkan kerajaan dan masyarakat untuk membendung kerosakan sosial dalam kalangan generasi muda.
Katanya, beliau mengambil pendirian tegas dalam pentadbiran disebabkan kebimbangan terhadap isu-isu sosial seperti dadah dan rasuah yang mencemarkan imej negara.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan beberapa kementerian berkaitan bagi merangka langkah menangani penjualan bahan terlarang, termasuk cecair vape mengandungi dadah yang dijual secara dalam talian.
Hasil perbincangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.
Seminar tersebut menghimpunkan lebih 1,000 warga pendidik dan bakal guru dari sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia bertujuan memperkukuh pemahaman serta tanggungjawab mereka dalam membina negara bangsa yang berasaskan nilai Malaysia MADANI.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar; Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr Roslan Hussin; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud serta mentor kepada Perdana Menteri, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.