PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan wakil rakyat supaya menghentikan budaya turun padang secara bermusim yang hanya aktif menyantuni rakyat menjelang pilihan raya.
Beliau menegaskan, pendekatan yang diamalkan Kerajaan Madani bukan bertujuan meraih sokongan politik semata-mata, sebaliknya benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan majoriti rakyat.
“Ini yang berlaku. Sebab itu saya lihat… setiap hari Jumaat, saya pergi makan di warung atau gerai dahulu dalam 15 hingga 20 minit sebelum solat Jumaat.
“Ini sahaja cara kita lihat kebersihan dan kemudahan… kerana ini menyentuh kepentingan peratusan rakyat,” katanya.
Menurut Anwar, budaya turun padang hanya dua bulan sebelum pilihan raya sudah menjadi kelaziman dalam kalangan ahli politik, namun amalan itu perlu dihentikan segera.
“Saya tidak mahu bawa mereka pergi santuni rakyat hanya dua bulan sebelum pilihan raya. Kerana dua bulan sebelum pilihan raya, semua orang politik akan cium bayi, jalan di warung, dan tanya khabar di rumah. Saya kena hentikan budaya itu,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika meninjau kemajuan projek pembangunan Kota Madani, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau telah memulakan rutin turun padang setiap Jumaat sejak awal pentadbiran Kerajaan Madani pada Disember 2022, sebagai usaha menyelami isu sebenar rakyat.
“Budaya ini supaya kita tahu keutamaannya. Bukan saya nak cakap besar, tapi saya nak ceritakan ini sebab ada mesejnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pembangunan bandar yang holistik dan berteraskan nilai budaya serta rohani.
Katanya, pembangunan Kota Madani tidak hanya tertumpu kepada kemajuan fizikal dan teknologi, tetapi turut mengangkat nilai sejarah dan kekuatan budaya tempatan.
“Kota moden yang ‘gersang’ budaya tidak dapat membina semangat kebersamaan, nilai asabiyah dan jati diri masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata, perancangan pembangunan juga mengambil kira aspek keselesaan serta keselamatan penduduk termasuk penyediaan laluan pejalan kaki ke sekolah, masjid, tadika, dewan komuniti dan tempat kerja.