Sunday, 3, August, 2025
Utama Negeri UUM meterai MoU strategik bersama institusi terkemuka Jepun

UUM meterai MoU strategik bersama institusi terkemuka Jepun

oleh Ammar Haziq

OSAKA – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah di persada antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama enam institusi pendidikan tinggi dari Jepun sempena Ekspo Osaka 2025 bersempena Minggu Pendidikan Tinggi.

Majlis bersejarah itu menyaksikan UUM menjalin kerjasama dengan Kansai University of International Studies, Kyoto Sangyo University, University of Tsukuba, Okayama University, Shibaura Institute of Technology serta Japan Da’wah Center, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala pendidikan dan pembangunan komuniti.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang mengetuai delegasi UUM berkata, kerjasama strategik itu melibatkan pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, projek penyelidikan bersama, penerbitan akademik serta kolaborasi dalam permohonan geran penyelidikan.

“Kami percaya bahawa perkongsian ini bukan sekadar membabitkan pertukaran ilmu, tetapi turut memberi impak signifikan terhadap pembangunan nilai-nilai sejagat dalam bidang akademik dan komuniti,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor UUM College of Arts and Sciences (CAS), Prof. Dr. Osman Ghazali, serta wakil rasmi daripada institusi Jepun seperti Prof. Dr. Yasuo Kawawaki dan Prof. Dr. Masahiko Murata dari Kansai University.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Japan Da’wah Center, Zulkarnain Hasan Basri menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah aplikasi berasaskan teknologi bagi memperkasa peranan masjid dalam menghubungkan komuniti Islam di Jepun.

“Inisiatif ini selari dengan misi kami untuk merapatkan jurang maklumat serta memperkukuh identiti Muslim melalui fungsi digital masjid,” jelasnya.

Delegasi UUM turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Hiroshima University dan Hiroshima City University sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi Jepun.

Sementara itu, sesi Pocket Talk @ OSAKA Expo 2025 yang disertai penyelidik UUM turut mendapat perhatian apabila membincangkan isu ‘Halal & Food Security’, sekali gus membuka ruang kepada padanan perniagaan bersama 15 organisasi Jepun melibatkan universiti dan syarikat swasta.

MoU ini dilihat sebagai satu langkah proaktif UUM dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam bidang pendidikan global dan pemerkasaan komuniti Islam antarabangsa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com