Wednesday, 15, May, 2024
Utama Negeri 5,738 graduan UUM diraikan pada Konvokesyen ke-36

5,738 graduan UUM diraikan pada Konvokesyen ke-36

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Seramai 5,738 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan (9) sesi di Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bermula 19 sehingga 23 November 2023 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.

Daripada keseluruhan 5,738 graduan tersebut, seramai 4,333 (75.52%) adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,387 (24.17%) merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah serta 18 graduan (0.31%) Diploma Eksekutif.

Daripada jumlah keseluruhan itu juga, 5,371 merupakan graduan tempatan dan 349 lagi adalah graduan antarabangsa.

Selain itu, UUM turut meraikan 1,201 (27.72%) graduan Sarjana Muda yang menerima Ijazah Kelas Pertama, Kelas Dua Atas seramai 2,944 (67.94%) dan Kelas Dua Bawah seramai 188 (4.34%).

Pada sesi pertama konvokesyen (19 November) akan menyaksikan seramai 81 graduan menerima anugerah dan pingat kecemerlangan akademik serta ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Tuanku Canselor, melibatkan graduan bagi Sarjana Sains Keselamatan Siber, Sarjana Sains (Pengurusan Rantaian Bekalan), Sarjana Sains (Pengurusan Projek) dan Sarjana Sains (Pengurusan Pengangkutan dan Logistik) termasuk tiga (3) penerima anugerah utama universiti iaitu Anugerah Pelajaran Diraja (2) dan Pingat Emas Canselor (1) dan penerima bagi 20 Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada Muhammad Azri Bin Mizra, 25, graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) dan Kaavilash Nair a/l Jason Raja, 24, graduan Sarjana Muda Komunikasi, manakala Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Nurfarazida Binti Salleh, 23, graduan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja akan menerima tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima tunai RM4,000 berserta sijil.

Selain itu, pada sesi pertama majlis juga turut mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada tiga penerima iaitu Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud, Prof. Dr. Rushaimi Zein Yusoff dan Prof. Dr. Ir. Che Sobry Abdullah.

UUM juga melahirkan 17 graduan sulung bagi empat program iaitu Sarjana Sains Keselamatan Siber (8), Sarjana Sains (Pengurusan Rantaian Bekalan) (3), Sarjana Sains (Pengurusan Projek) (1) dan Sarjana Sains (Pengurusan Pengangkutan dan Logistik) (5).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com