KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mempergiat pelbagai inisiatif pro-rakyat bagi mengurangkan beban kos sara hidup, termasuk meneruskan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua program itu terbukti memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah dan akan diteruskan secara konsisten dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Melalui RMK13, inisiatif Payung Rahmah akan diperkasa, termasuk Jualan Rahmah yang memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan makanan dan keperluan asas pada harga yang lebih berpatutan,” kata Perdana Menteri semasa membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menjadikan prinsip “tiada siapa yang ketinggalan” sebagai asas dalam dasar ekonomi dan sosial.
Selain keperluan makanan, kerajaan juga meluaskan Pakej Rahmah untuk meliputi perkhidmatan lain yang penting dalam kehidupan harian.
“Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet, insurans dan takaful akan diteruskan bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan rentan, dapat menikmati kemudahan asas pada harga mampu milik,” jelas Anwar.
Dalam aspek mobiliti rakyat, kerajaan memastikan kos pengangkutan awam kekal berpatutan dengan melanjutkan pelbagai bentuk pas perjalanan termasuk pas bulanan, pas khas kepada pelajar, pas warga emas dan OKU.
“Ini bukan retorik. Langkah ini telah dan sedang dilaksanakan menerusi tindakan-tindakan baharu oleh Kementerian Pengangkutan,” tegas Perdana Menteri sambil menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menafikan kewujudan langkah-langkah bantuan ini.
Langkah-langkah ini memperkukuh iltizam kerajaan untuk mengekang inflasi dan ketidaksamarataan akses kepada keperluan asas, sejajar dengan matlamat RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”.
Melalui kesinambungan dan perluasan program seperti STR, SARA, Payung Rahmah dan subsidi mobiliti, kerajaan mahu memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, mampu hidup dengan lebih selesa, bermaruah dan sejahtera dalam kerangka Malaysia MADANI.