KOTA BHARU: Kerajaan bersedia meneliti dan mempertimbangkan permohonan baharu projek mendesak daripada Kelantan walaupun senarai utama pembangunan sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata proses penetapan keutamaan projek dalam RMK13 turut melibatkan sesi libat urus secara langsung bersama kerajaan negeri bagi memastikan setiap cadangan menepati keperluan rakyat.
“Walaupun RMK13 telah dibentangkan, ada beberapa permohonan baharu dikemukakan dan jika dilihat sebagai keutamaan, kita akan kaji semula.
Keutamaan akan diberi kepada projek mendesak seperti tebatan banjir, bekalan air, tenaga dan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesi libat urus kini dipermudah berbanding sebelum ini dengan memberi ruang kepada kerajaan negeri menyampaikan input terus kepada Kerajaan Persekutuan.
“Setiap kali saya ke negeri, kita adakan satu sesi khas untuk kerajaan negeri beri pandangan selain memantau pelaksanaan projek sedia ada.
Kadang-kadang projek diumumkan besar jumlahnya tetapi pelaksanaannya terbantut, sebab itu rundingan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan,” katanya.
Mengenai PMR 2025 Kelantan, beliau berkata program itu menjadi peluang terbaik untuk kerajaan mendekati rakyat serta menyampaikan maklumat secara langsung di lapangan.