Wednesday, 15, May, 2024
Utama Ekonomi Kerajaan tumpu penyelesaian inovatif lestari pacu industri, ekonomi – PM

Kerajaan tumpu penyelesaian inovatif lestari pacu industri, ekonomi – PM

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA:Kerajaan akan memberi tumpuan kepada penyelesaian inovatif yang lestari dalam usaha membangunkan dan memasarkan penyelesaian inovasi tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemain industri perlu mencari penyelesaian inovatif dengan kos efektif, sekali gus mengangkat martabat Malaysia menjadi negara yang inovatif, maju dan lestari.

Katanya, industri pusat data perlu mempunyai keupayaan untuk beralih kepada tenaga hijau bagi menggalakkan lebih banyak pihak mengambil inisiatif yang lestari dan seterusnya meneutralkan pelepasan karbon.

“Industri automatif umpamanya perlu menjadi antara penyumbang utama kepada hasrat kita untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

“Di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Negara (NETR), kita turut menggariskan usaha peralihan kepada tenaga hijau, antaranya termasuklah melibatkan sektor automatif.

“Seperti mana yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani, kerajaan akan terus menyokong usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan syarikat tempatan dan syarikat pemula, untuk mendorong mereka mencapai kejayaan lebih besar dan meraih pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup InnoEx by Cyberview, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang .

Beliau berkata kerajaan akan memudahcara industri untuk membawa masuk pelaburan dan menyokong penggunaan teknologi melalui automasi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong pembangunan bakat tempatan.

Pameran inovasi selama empat hari itu menghimpunkan perintis industri, peneraju pemikiran, usahawan, peminat teknologi dan komuniti untuk pengalaman dan penerokaan teknologi inovatif terbaik yang dibangunkan di Cyberjaya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com