ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar membidas tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang mempersoalkan kelayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik semata-mata.
Menurut Mahfuz, tindakan itu jelas didukung oleh parti pembangkang yang dilihat cuba menggugat kestabilan kerajaan dan mengalih fokus negara daripada isu rakyat.
“Pelantikan Perdana Menteri dibuat mengikut Perlembagaan dan disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia tidak pernah dipertikai di Parlimen. Jadi, tindakan mempertikaikannya sekarang adalah tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut menyelar tindakan saman yang difailkan oleh Waytha Moorthy sebagai cubaan mengheret negara ke kancah polemik perundangan yang memecah-belahkan rakyat.
“Ketika kerajaan sibuk merangka RMK-13, mengawal kos sara hidup dan menarik pelaburan, pembangkang pula memilih untuk bermain drama politik bersiri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat memerlukan kestabilan dan tindakan segera dalam isu ekonomi, bukan gangguan politik yang mengalih perhatian daripada usaha membina masa depan negara.
Mengulas isu pengampunan diraja, Mahfuz menegaskan bahawa kuasa tersebut adalah hak mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah dilaksanakan mengikut proses sah di bawah Perlembagaan.
“Semasa Waytha menjadi menteri, beliau tidak pula membantah Anwar bertanding di Port Dickson atau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Agaknya selepas doa daripada ulama Pas menembusi telinga beliau, baru terbuka hatinya,” sindir Mahfuz.
Beliau menyifatkan cubaan mempertikai pengampunan diraja sebagai tindakan mencabar keputusan institusi tertinggi negara.
Mahfuz menyeru agar semua pihak menumpukan tenaga dan masa untuk memacu ekonomi, membina infrastruktur dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“Pembangkang sepatutnya menjadi semak dan imbang yang membina, bukan mencari peluang memecah-belahkan negara melalui isu yang telah selesai secara sah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus kekal fokus terhadap kerja dan pembangunan negara, bukan melayan polemik politik yang tidak berkesudahan.
“Negara perlukan kestabilan untuk maju. Saman politik ini bukan demi rakyat. Ia hanya helah pembangkang untuk mengganggu perjalanan negara,” tegas Mahfuz.