Sunday, 21, September, 2025
Utama Negeri Nelayan gagal loloskan diri, bot bersama 48 bubu naga ditahan Maritim

Nelayan gagal loloskan diri, bot bersama 48 bubu naga ditahan Maritim

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH, 21 Sept – Cubaan seorang nelayan meloloskan diri daripada pihak berkuasa gagal apabila bot fiber yang dinaikinya bersama 48 unit bubu naga berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Sungai Dedap, Yan, semalam.

Bot tanpa nombor pendaftaran itu dikesan sekitar jam 11.30 pagi ketika rondaan rutin dijalankan menerusi operasi bersepadu Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Patkor Optima Malindo Siri 32/2025.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kru bot terbabit bertindak melarikan diri ke arah daratan sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perikanan 1985. Turut ditemui ialah 48 unit bubu naga yang diharamkan penggunaannya kerana berpotensi merosakkan ekosistem marin serta mengancam populasi hidupan laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seorang kru tempatan ditahan bagi membantu siasatan, manakala bot bersama peralatan yang dianggarkan bernilai RM112,000 telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) dan Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan sehingga menjejaskan kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.

Orang ramai, khususnya komuniti nelayan, diseru agar melaporkan sebarang aktiviti penangkapan ikan haram atau kejadian mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579 yang beroperasi 24 jam.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com