Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Bayi perempuan ditinggalkan dalam bakul

Bayi perempuan ditinggalkan dalam bakul

oleh Ammar Haziq

PENDANG – Dua individu ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam bakul di tepi jalan berhampiran ladang getah di Kampung Datuk Syed Ahmad pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, bayi itu ditemui masih hidup dengan kesan darah bersama tali pusat serta uri yang dibalut dengan kain batik serta tuala.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung penemuan bayi itu pada jam 7.05 malam pada semalam..

“Anggota polis bersama kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tiang tiba di lokasi kejadian melakukan pemeriksaan dan mendapati bayi perempuan itu masih hidup.

“Kita percaya, bayi itu dipercayai ditinggalkan di kawasan itu kurang daripada 12 jam sebelum ditemui dan masih baru kerana mempunyai kesan darah dan bayi tersebut dihantar ke Hospital Pendang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Jelasnya, pihaknya  menahan dua individu iaitu seorang wanita dipercayai ibu bayi berkenaan dan lelaki yang dipercayai pasangannya untuk membantu siasatan.

“Tangkapan dilakukan berasingan di sekitar daerah Sik yang mana lelaki itu ditahan pada jam 12 tengahari tadi manakala wanita itu pula ditahan pada jam 12.15 tengahari.

“Kedua-dua mereka berusia 20-an dan lelaki terbabit bekerja sebagai tukang gunting manakala wanita itu pula bekerja di sebuah kedai telefon bimbit. Mereka bukan penduduk di daerah ini tetapi menetap di Sik tetapi siasatan masih dilakukan bagaimana bayi itu ditinggalkan di kawasan kejadian,” ujarnya.

Arriz Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati, kedua-dua suspek bebas dari pengaruh dadah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com