Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi Rakyat sambut baik inisiatif BUDI95, ringan beban pengguna harian

Rakyat sambut baik inisiatif BUDI95, ringan beban pengguna harian

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 mendapat reaksi positif orang ramai yang menyifatkannya mampu meringankan beban perbelanjaan harian.

Bagi pekerja kilang, Mohd Hafiz Ahmad, 37, dari Alor Setar, langkah kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dengan kelayakan 300 liter sebulan sangat membantu, terutama golongan yang berulang-alik bekerja jarak jauh setiap hari.

“Saya berulang ke Sungai Petani setiap hari untuk bekerja, memang banyak guna minyak. Dengan adanya BUDI95 ini, sekurang-kurangnya saya dapat berjimat antara RM100 hingga RM150 sebulan. Itu satu kelegaan besar,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di sini.

Beliau menegaskan, pendekatan subsidi bersasar memberi keyakinan bahawa bantuan hanya dinikmati oleh rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Bila subsidi diberi secara bersasar, kita rasa yakin bahawa ia tidak lagi dinikmati pihak yang tidak layak. Ini penting supaya rakyat sendiri tidak terbeban,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Noraini Zulkifli, 42, dari Sungai Petani, turut menyambut baik pengumuman itu kerana ia membantu ibu-ibu yang kerap menggunakan kenderaan bagi menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta menghadiri aktiviti harian keluarga.

“Sebagai ibu, saya memang banyak bergerak setiap hari. Bila kerajaan pastikan semua rakyat layak secara automatik tanpa perlu memohon, ini memudahkan dan memberi rasa dihargai. Dengan kos sara hidup sekarang, bantuan begini memang sangat bermakna,” katanya.

Noraini menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah bijak yang bukan sahaja meringankan isi rumah, malah memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga.

“Kalau kita boleh jimat di bahagian minyak, lebihan itu boleh guna untuk belanja dapur atau pendidikan anak-anak. Jadi kesannya besar untuk kehidupan harian,” katanya.

Secara keseluruhan, orang ramai melihat pelaksanaan BUDI95 bukan sekadar memastikan harga petrol kekal berpatutan, tetapi juga menzahirkan komitmen kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat di semua lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com