Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi Inisiatif BUDI95 ringan beban kos sara hidup anggota – PDRM

Inisiatif BUDI95 ringan beban kos sara hidup anggota – PDRM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula berkuat kuasa pada 27 September ini khusus untuk warga PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata inisiatif itu diyakini memberi impak positif kepada warga PDRM yang bertugas di seluruh negara.

“Pengurangan beban kos bahan api secara langsung dapat meningkatkan motivasi dan daya tahan anggota dalam melaksanakan amanah demi menjamin ketenteraman serta keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui mekanisme penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka lebih awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September, sebelum dibuka sepenuhnya kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif bermula 30 September.

Mohd Khalid menegaskan bahawa sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang yang mendukung aspirasi Malaysia MADANI, PDRM melihat inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup bahkan memperkukuh kesejahteraan sosial dan kestabilan negara selain membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara adil dan berkesan,” ujarnya.

Beliau turut memuji pendekatan inovatif penggunaan MyKad di stesen minyak sebagai mekanisme pengesahan kelayakan, yang disifatkan selaras dengan usaha pendigitalan negara serta mencerminkan tadbir urus subsidi yang telus, cekap dan lestari.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com