Friday, 3, May, 2024
Utama Ekonomi PM lulus peruntukan kecemasan selenggara jalan, jambatan terputus di Pensiangan

PM lulus peruntukan kecemasan selenggara jalan, jambatan terputus di Pensiangan

oleh admin

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meluluskan peruntukan kecemasan untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan raya dan pembinaan jambatan akibat tanah runtuh Nabawan 5 September lalu.

Kejadian itu menyebabkan penduduk Kampung Salinatan dan sekitarnya terjejas kerana laluan berkenaan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, aduan berkaitan kejadian itu telah diterima oleh penduduk dari Kampung Salinatan.

“Hasil tinjauan mendapati, hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di beberapa lokasi sehingga jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, Pejabat Daerah Nabawan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan serta-merta menjalankan kerja penyelenggaraan sementara agar penduduk kampung dapat menggunakan jalan utama tersebut selain menambah kekuatan jentera berat yang beroperasi pada 8 September lalu.

“Saya sentiasa memantau situasi di kawasan kejadian dan telah mencadangkan kepada Pejabat Daerah Nabawan agar lokasi sekitar terbabit diisytiharkan sebagai kawasan bencana supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat menghulurkan bantuan segera.

“Hasil pertemuan dengan Perdana Menteri pada 14 September lalu, beliau bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan membina baharu jambatan,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau amat bersimpati dengan kejadian bencana alam yang berlaku itu.

“Saya akan berusaha dengan sedaya upaya bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan jalan untuk kemudahan masyarakat di kawasan tersebut.

“Saya bagi pihak penduduk Kampung Salinatan amat berterima kasih kepada semua yang telah menghulurkan bantuan kecemasan dan turut mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan supaya dapat berhubung dengan Pegawai Daerah Nabawan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah bagi tujuan penyelarasan serta memastikan bantuan tersebut sampai kepada penerima,” ujarnya.

Sebelum itu, media melaporkan lebih 300 penduduk mendiami empat perkampungan di Pensiangan, terputus bekalan makanan hampir seminggu berikutan laluan utama ke kawasan itu tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh.

Sebanyak 76 keluarga terjejas akibat kejadian yang berlaku di sepanjang jalan daerah itu termasuk jambatan dihanyutkan oleh arus deras.
Kampung yang terjejas ialah Kampung Salinatan, Kampung Tulir, Kampung Bolar Baru dan Kampung Kasumunsing, selain guru serta kakitangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com