Tuesday, 14, October, 2025
Utama Nasional Belanjawan 2026: had pengeluaran KWSP tunai haji dinaikkan kepada RM10,000

Belanjawan 2026: had pengeluaran KWSP tunai haji dinaikkan kepada RM10,000

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan menunaikan ibadat haji kepada RM10,000, berbanding RM3,000 sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bertujuan membantu lebih ramai pencarum menampung kos perjalanan haji yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Kerajaan bersetuju supaya had pengeluaran KWSP untuk tujuan menunaikan ibadat haji ditingkatkan kepada RM10,000 berbanding RM3,000 sebelum ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, kemudahan pengeluaran awal gantian cuti rehat (GCR) kepada penjawat awam turut diperluas bagi tujuan menunaikan haji, dengan had penebusan RM10,000 dan peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan oleh kerajaan.

Menurut Anwar, langkah itu memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan sederhana yang sebelum ini terpaksa menanggung beban kewangan tinggi untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata, keputusan berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat, terutama dalam membantu mereka melaksanakan kewajipan agama tanpa tekanan kewangan yang besar.

Dalam pembentangan sama, Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus mengoptimumkan sumber dana negara, termasuk dana GLIC berjumlah RM30 bilion, pelaburan awam-swasta RM10 bilion, dan pelaburan badan berkanun serta syarikat milik kerajaan (MKD) sebanyak RM10.8 bilion.

Untuk rekod, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM470 bilion secara keseluruhan, merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk pembangunan, dengan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan disiplin fiskal negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com