Tuesday, 14, October, 2025
Utama Ekonomi Belanjawan 2026: harga rokok dan minuman keras naik, hasil disalur kepada KKM

Belanjawan 2026: harga rokok dan minuman keras naik, hasil disalur kepada KKM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah tegas mengurangkan kadar perokok serta tabiat tidak sihat dalam kalangan rakyat dengan menaikkan kadar duti eksais ke atas rokok dan minuman keras, berkuat kuasa 1 November 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hasil tambahan daripada kenaikan cukai berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, serta rawatan diabetes dan penyakit jantung.

“Pertama ialah kenaikan harga rokok yang meningkat dua sen sebatang. Kedua, bagi produk cigars, cheroots dan cigarillos, kadar dinaikkan RM40 sekilogram.

“Manakala produk tembakau dipanaskan (heated tobacco) pula meningkat RM20 sekilogram kandungan tembakau,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut Anwar, kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan terhadap produk terapi gantian nikotin, termasuk produk nicotine mist dan nicotine lozenges, sehingga 31 Disember 2027.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan perokok beralih kepada kaedah rawatan gantian yang lebih selamat, selain menyokong dasar kesihatan awam negara.

Dalam masa sama, kadar duti eksais bagi produk minuman keras turut dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025, bagi mengurangkan akses terhadap alkohol serta menggalakkan gaya hidup sihat.

“Mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, kerajaan juga mencadangkan agar perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftarkan dan diluluskan oleh KKM,” katanya.

Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyeimbangkan antara kesihatan awam dan hasil negara, dengan memastikan dana tambahan digunakan untuk memperkukuh sistem kesihatan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com