Thursday, 2, May, 2024
Utama Ekonomi ASB umum dividen 5.25 sen seunit bagi 2023

ASB umum dividen 5.25 sen seunit bagi 2023

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023).

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.

ASB terus memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. Bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan
mereka.

Pasaran Malaysia pada tahun 2023 telah menunjukkan daya tahan dan menyesuai dengan baik di tengah-tengah ketegangan geopolitik global dan ketidaktentuan ekonomi. Walaupun berhadapan dengan cabaran termasuk kenaikan kadar faedah dan tekanan inflasi, ekonomi dan pasaran modal Malaysia menunjukkan keupayaannya untuk mengharungi cabaran ini.

Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0% pada tahun 2023, dengan sokongan berterusan penggunaan domestik yang kukuh, perbelanjaan infrastruktur serta pemulihan dalam sektor pelancongan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 3.3% pada suku ketiga 2023 (Q3 2023), berbanding 2.9% pada Q2 2023 (Q1 2023: 5.9%). Namun begitu, pasaran modal tidak terlindung daripada trend makro global, khususnya kenaikan kadar faedah. Setakat 15 Disember 2023, FBM KLCI telah merosot 2.2%.

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetap mereka, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini dan orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin.

“Kami mengiktiraf kepentingan memperjuangkan agenda celik kewangan dan berpandukan matlamat kami yang diperbaharui baru-baru ini – ‘Untuk Mengukuh Kedudukan Kewangan Rakyat Malaysia, Merentas Generasi’, kami komited untuk berkhidmat kepada pemegang unit kami dan memberikan hasil yang kompetitif.”

“Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 (daripada 15.2 juta tahun lepas). Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular,” katanya.

Dalam perkembangan korporatnya, tahun 2023 merupakan tahun yang penuh peristiwa bagi PNB. Transaksi utama ialah penggabungan UMW Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad, yang mengukuhkan kedudukan Kumpulan dalam sektor automotif domestik dan serantau.

Perkembangan lain termasuk penggabungan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), serta pemeteraian perjanjian jual beli dan pajakan balik RM2 bilion bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], dengan Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd untuk kemudahan pembuatannya di Kulim Hi-tech Park, Kedah.

Perjanjian penting itu adalah selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).



Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com