Tuesday, 14, October, 2025
Utama Ekonomi Tatakelola cekap benar Kerajaan salur lebih manfaat tanpa naik cukai

Tatakelola cekap benar Kerajaan salur lebih manfaat tanpa naik cukai

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Kerajaan yakin mampu menambah manfaat kepada rakyat melalui Belanjawan 2026 tanpa menaikkan cukai, hasil penjimatan besar daripada tatakelola yang cekap serta usaha berterusan membanteras ketirisan dan rasuah sejak dua tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan adalah memperkukuh sistem pentadbiran dan memastikan setiap perbelanjaan negara digunakan secara optimum untuk kepentingan rakyat.

Beliau menegaskan, sebarang cadangan menaikkan cukai hanya akan membebankan rakyat, justeru kerajaan memilih untuk memperbetulkan kelemahan pentadbiran bagi menjamin ketelusan serta keberkesanan dasar kewangan negara.

Anwar menjelaskan, sekiranya usaha pengurangan perbelanjaan sekitar RM10 bilion setahun dapat diteruskan, kerajaan mampu menjimatkan hingga RM100 bilion dalam tempoh sedekad bagi memperkukuh sistem pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam.

Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, penjimatan mencecah RM15.5 bilion telah direkodkan hasil peningkatan kecekapan dan pengawasan rapi terhadap pengurusan kewangan negara.

Menurut beliau, langkah itu membuktikan kemampuan kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal tanpa menambah beban cukai rakyat sambil memastikan hasil negara diagih secara saksama.

Belanjawan 2026 yang diumumkan baru-baru ini memperuntukkan RM470 bilion, meningkat berbanding RM452 bilion tahun sebelumnya, dengan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi negara.

Peruntukan itu merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM81 bilion untuk pembangunan, RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan serta syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hasil tatakelola baik memberi ruang kepada kerajaan menyalur lebih banyak peruntukan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Beliau menambah, tadbir urus yang kukuh akan terus menjadi teras kepada pentadbiran Kerajaan MADANI bagi memastikan Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran ekonomi global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com