KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sambutan Deepavali di kediaman Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Isnin dalam suasana penuh harmoni dan semangat perpaduan.
Kunjungan itu turut disertai isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta beberapa pemimpin kanan kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata kehadirannya bertujuan meraikan semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Semoga seluruh penganut Hindu berbahagia di samping keluarga tersayang,” katanya ringkas.
Beliau turut berkongsi tujuh keping gambar suasana sambutan di kediaman Gobind yang turut dihadiri tetamu pelbagai kaum dan agama.
Terdahulu, dalam hantaran berasingan, Anwar menyeru rakyat menjadikan sambutan Pesta Cahaya itu sebagai peluang memperteguh perpaduan dan menyantuni golongan yang memerlukan.
“Sebagai bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, semangat saling menghormati serta persefahaman antara satu sama lain perlu sentiasa dipupuk dan diperkukuh,” katanya.
Perdana Menteri berkata, keharmonian dan perpaduan nasional merupakan kekuatan sebenar negara yang harus dipelihara semua pihak tanpa mengira latar belakang.