Wednesday, 24, April, 2024
Utama Nasional Lelaki menyamar Raja Muda Perak kerana mahu jumpa Sultan Kedah didenda RM4,000

Lelaki menyamar Raja Muda Perak kerana mahu jumpa Sultan Kedah didenda RM4,000

oleh admin

ALOR SETAR, 22 Ogos – Seorang individu yang hanya melakukan kerja-kerja kampung sebagai punca pendapatan, didenda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lalu.

Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman tersebut sebaik tertuduh, Mohammad Fadhil Lope mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret 3.

Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, tertuduh diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.

Lelaki yang menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini dan didenda RM4,000 serta diarahkan dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Sultan Kedah kira-kira pukul 11.30 pagi pada 28 Jun lalu.

Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan bapa kepada seorang anak, didakwa memperdaya seorang kakitangan Pejabat Sultan Kedah dengan jalan samaran supaya dibenarkan berjumpa Sultan Kedah.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Syafiq Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan mengenai tangkapan dilakukan terhadap tertuduh setelah kakitangan Pejabat Sultan Kedah membuat laporan mengenai tindakan tidak masuk akal tertuduh itu.

Dia dikatakan hadir ke pejabat baginda bersama dua wanita sebelum menggunakan sekeping kad untuk memperkenalkan diri yang tertera gelaran dan nama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

Melihat butiran meragukan itu, kakitangan terbabit kemudiannya membuat semakan dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak mendapati tidak wujud kerabat Diraja Negeri Perak.

Bahagian tersebut mengesahkan tidak wujud kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sebegitu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com