Thursday, 30, October, 2025
Utama Nasional Malaysia serah kepengerusian ASEAN kepada Filipina

Malaysia serah kepengerusian ASEAN kepada Filipina

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan berakhirnya tempoh setahun negara ini menerajui blok serantau itu dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Majlis penyerahan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan yang dihadiri semua pemimpin negara anggota serta rakan dialog utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan tukul kuasa atau gavel kepada Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr, sebagai simbol penyerahan rasmi tanggungjawab kepengerusian ASEAN bagi tahun berikutnya.

“Semoga berjaya kepada sahabat saya Bongbong (Ferdinand R. Marcos Jr.). Saya yakin di bawah kepimpinan anda yang hebat, ASEAN akan terus bergerak dengan jelas, tenang serta bersemangat dan cantik — seperti ciri-ciri rakyat Filipina,” kata Anwar dalam ucapannya semasa majlis penutup sidang kemuncak berkenaan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkata beliau berbangga melihat semangat kerjasama antara negara anggota yang saling berkongsi maklumat dan berdialog secara berhemah sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

“Kita telah menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan bahawa misi ASEAN apabila dipandu oleh kesabaran dan kewarasan masih berfungsi,” ujar beliau.

Menurutnya, walaupun pelbagai krisis di rantau ini belum dapat diselesaikan sepenuhnya, namun keteguhan hati serta komitmen para pemimpin menunjukkan bahawa setiap langkah kecil membawa rantau ini lebih hampir kepada keadilan dan kestabilan.

“Saya menghormati anda semua kerana tidak berputus asa. Apa yang penting ialah setiap tindakan berani membantu membawa rantau kita semakin hampir kepada harapan dan keadilan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kementerian, agensi, pegawai kerajaan serta sukarelawan yang memastikan kejayaan kepengerusian Malaysia sepanjang tahun ini.

“Saya merakamkan penghargaan mendalam kepada semua pegawai dan sukarelawan yang telah menunjukkan dedikasi, ketabahan dan profesionalisme. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kemurahan hati sepanjang tahun yang mencabar ini,” katanya.

Beliau menambah, sikap mesra dan semangat kerjasama yang ditunjukkan rakyat Malaysia telah menonjolkan imej terbaik negara di mata dunia serta memperkukuh semangat serantau.

Majlis penyerahan turut diserikan dengan persembahan muzik tradisional ASEAN, termasuk lagu Rasa Sayang dan Getaran Jiwa yang dipopularkan Tan Sri P. Ramlee, diiringi persembahan pelajar Sekolah Antarabangsa Cempaka dengan busana tradisional.

Lagu tema rasmi ASEAN, The ASEAN Way, turut berkumandang dengan penuh semangat, melambangkan semangat perpaduan dan persaudaraan negara-negara anggota dalam melangkah ke era baharu di bawah kepengerusian Filipina.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com