Saturday, 11, May, 2024
Utama Nasional Anwar sifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia paling akrab

Anwar sifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia paling akrab

oleh admin

HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia yang paling akrab sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara lima dekad lepas.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan dua hala yang amat baik dan Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama serta hubungan istimewa sedia ada ke tahap lebih tinggi.

Anwar dipetik Bernama turut menzahirkan kekaguman beliau terhadap perjuangan Vietnam dan rakyatnya untuk pulih daripada kesusahan serta kesukaran yang dialami semasa pertempuran menentang penjajah.

YouTube player

“Berbekalkan kecekalan dan ketabahan di peringkat kepimpinan serta rakyat, anda berjaya mengecapi kejayaan besar dalam tempoh beberapa dekad sahaja yang sekali gus menjadikan Vietnam sebuah negara penting di ASEAN dan kini dikenali sebagai antara negara membangun paling berpotensi di dunia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh rakan sejawatnya Pham Minh Chinh di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Terdahulu, semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, Anwar menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama dua hala sedia ada dan berkata usaha akan dilakukan untuk mengukuhkan lagi hubungan itu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Nguyen Phu Trong sering berbicara soal antirasuah dan tatakelola yang baik di Vietnam dan kami dapat bertukar pandangan terkait perkara ini serta keperluan untuk agensi antirasuah kedua-dua negara bekerjasama dan mengadakan perkongsian bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com