Monday, 3, November, 2025
Utama Ekonomi APEC 2025: Malaysia-AS kukuh kerjasama berteraskan prinsip hormat dan keterbukaan

APEC 2025: Malaysia-AS kukuh kerjasama berteraskan prinsip hormat dan keterbukaan

oleh Ammar Haziq

GYEONGJU — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berlandaskan prinsip keterbukaan, keadilan serta saling menghormati.

Menurut beliau, hubungan dua hala yang terjalin bukan sekadar berasaskan kepentingan ekonomi semata-mata, tetapi juga berpaksikan nilai bersama yang menekankan integriti dan ketelusan dalam tadbir urus.

“Pertemuan ini turut menumpukan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini.

Anwar berkata, perbincangan bersama Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, juga menyentuh tentang keperluan memperkukuh sistem kewangan yang mampan dan terbuka, seiring aspirasi APEC ke arah pertumbuhan inklusif dan berdaya tahan.

Dalam pertemuan itu, Bessent turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas layanan mesra yang diberikan kepada Presiden AS, Donald Trump, serta delegasinya ketika lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada AS atas komitmen berterusan dalam memperluas jaringan pelaburan, perdagangan serta sumbangan terhadap keamanan global.

“Malaysia menghargai peranan Amerika Syarikat dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa yang berasaskan prinsip dialog, keadilan dan saling memahami. Hubungan ini akan terus diperkasa demi manfaat bersama,” katanya.

Anwar menegaskan, Malaysia akan terus konsisten mempertahankan kedaulatan dan prinsip dalam setiap bentuk kerjasama antarabangsa, termasuk dengan kuasa besar dunia.

Beliau turut menambah bahawa hubungan Malaysia-AS perlu terus berkembang secara berimbang — tidak tunduk kepada tekanan, tetapi berasaskan keyakinan dan saling menghormati kedudukan masing-masing sebagai rakan strategik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com