Sunday, 9, November, 2025
Utama Nasional Malaysia tegas kekal bebas dalam hubungan antarabangsa – PM

Malaysia tegas kekal bebas dalam hubungan antarabangsa – PM

oleh Ammar Haziq

BUKIT MERTAJAM: Malaysia kekal berpegang kepada prinsip bebas dan berdaulat dalam menjalin hubungan antarabangsa tanpa tunduk kepada sebarang kuasa besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pendirian itu membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan dagang dan pelaburan dengan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Brazil serta Afrika Selatan demi kepentingan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, tindakan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS baru-baru ini bukan tanda Malaysia tunduk kepada Washington, sebaliknya langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara.

Anwar menjelaskan, meskipun menerima kecaman daripada pihak tertentu selepas pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, beliau tetap mempertahankan pendirian Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Beliau turut mendedahkan bahawa walaupun AS mengumumkan larangan kepada wakilnya daripada menghadiri Sidang Kemuncak G20 yang dipengerusikan oleh Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Malaysia tetap akan hadir sebagai tanda ketegasan prinsip berkecuali.

Katanya, Malaysia tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan atau arahan asing dalam menentukan hala tuju dasar luar negaranya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa meskipun Malaysia bekerjasama dengan AS dalam bidang perdagangan, ia tidak menghalang hubungan ekonomi dengan negara lain termasuk China dan Australia.

Sebagai contoh, katanya, pelaburan nadir bumi Lynas di Pahang datang dari Australia, manakala pelaburan terbaharu bernilai RM600 juta melalui syarikat JS Link juga diluluskan baru-baru ini.

Selain itu, pelaburan nadir bumi di Perak pula dijalankan bersama syarikat dari China, sekali gus membuktikan Malaysia mengekalkan pendekatan terbuka dan pragmatik dalam urusan antarabangsa.

Beliau menegaskan, dasar itu penting untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik dalam sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor dan tenaga hijau.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu bertujuan merunding semula kadar tarif perdagangan antara kedua-dua negara daripada 25 peratus kepada 19 peratus di bawah arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden Trump pada April lalu.

Anwar berkata, keputusan Malaysia untuk terus berhubung dengan semua pihak adalah demi manfaat rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi negara jangka panjang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com