SUNGAI PETANI – Seorang guru wanita terkejut besar apabila seekor ular sawa batik sepanjang lima meter dan seberat kira-kira 60 kilogram jatuh dari siling tandas rumahnya dalam satu operasi menangkap reptilia itu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rabu lalu.
Mangsa, Nor Hayati Md. Rajab, 50, berkata insiden mencemaskan itu berlaku di kediamannya di Taman Bandar Baru PKNK kira-kira pukul 4 petang, selepas anak perempuannya yang berusia 15 tahun memaklumkan siling tandas rumah mereka pecah.
“Saya sedang bermesyuarat ketika anak menghantar gambar siling yang terjatuh. Sebaik tiba di rumah, saya periksa dan nampak sesuatu seperti kain batik di celah siling. Bila anak saya zoom dengan kamera telefon, kami nampak badan ular,” katanya seperti dipetik dari laporan Kosmo Online.
Nor Hayati segera menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan anggota APM tiba untuk menjalankan operasi menangkap ular tersebut.
“Ketika mereka tarik keluar ular itu dari siling, saya benar-benar terkejut. Saya ingatkan ular biasa, rupanya ular sawa batik yang sangat besar. Ini kali pertama saya lihat ular sebesar itu depan mata, sampaikan saya jerit anakonda,” ujarnya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana menyedari kehadiran reptilia itu lebih awal dan tidak dapat membayangkan risiko jika ular tersebut menjalar masuk ke dalam rumah tanpa disedari.
Nor Hayati percaya ular berkenaan memasuki bahagian siling melalui pokok durian belanda yang terletak di belakang rumahnya.
“Dua hari sebelum kejadian, dua pasu bunga saya terbalik. Mungkin ketika itu ular sedang menjalar naik ke pokok,” katanya.
Tambahnya, insiden itu meninggalkan kesan trauma kepada dirinya dan dua anaknya yang kini lebih berhati-hati sebelum masuk ke tandas.
“Di belakang rumah ada kawasan paya, mungkin ular itu datang dari situ. Saya terpaksa cuci lantai dan karpet kerana ada kesan bau hanyir,” jelasnya.
Sementara itu, APM dalam kenyataan memaklumkan menerima laporan kejadian pada pukul 4.01 petang dan berjaya menangkap ular sawa batik tersebut dengan selamat.