Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Gunakan masa pengajian tuntut ilmu sebaik mungkin – NC UUM

Gunakan masa pengajian tuntut ilmu sebaik mungkin – NC UUM

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memulakan pengajian mereka di kampus ini diminta menggunakan tempoh pengajian mereka untuk menuntut ilmu sebaik mungkin.

Naib Canselor Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, selepas sesi pengajian di sekolah rendah, menengah, matrikulasi dan sebagainya ini adalah makmal terakhir untuk mendapat didikan secara formal diperingkat universiti.

“Oleh itu gunakanlah tempoh masa yang ada untuk tuntut ilmu sebanyak yang mungkin samada berkaitan dengan bidang ataupun ilmu-ilmu lain yang seumpama berkaitan agama, adab, sahsiah dan kecemerlangan diri selain daripada akademik,” ujar beliau semasa menghadiri majlis Bicara Santai Bersama Naib Canselor dengan pelajar baharu sesi 2023/2024 di Dewan Muadzam Shah UUM.

Beliau juga menyarankan pelajar-pelajar libatkan diri dan bina jaringan dengan rakan-rakan samada di pusat pengajian atau inasis masing-masing.

Bagi sesi ini UUM menerima kemasukan 3,879 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2023/2024.

Daripada jumlah itu, 3,773 orang adalah pelajar tempatan yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 106 lagi adalah pelajar antarabangsa.

Di majlis ini beliau turut memperkenalkan barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) dan Dekan-dekan.

Terdahulu Prof Dr Mohd Foad menyaksikan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar yang di ketuai oleh Muhammad Zullukman Zulkifli sebelum menyerahkan ikrar itu kepada Pendaftar UUM Ahmad Rasidi Abdullah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com