Friday, 21, November, 2025
Utama Sukan Tiada usaha tutup skandal FAM, siasatan wajib diteruskan

Tiada usaha tutup skandal FAM, siasatan wajib diteruskan

oleh Ammar Haziq

JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak sesekali berusaha menutup skandal membabitkan pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), malah menyifatkannya sebagai isu besar yang mesti ditangani secara telus dan berprosedur.

Menurut Anwar, Kabinet telah membincangkan perkara itu dan memutuskan bahawa sebarang tindakan mesti berpandukan peraturan serta tidak boleh bergantung kepada tekanan luar.

“Teruskan dan siasat. Itu arahan kita. Kita tidak membuat keputusan bertindak hanya kerana FIFA,” katanya kepada media Malaysia ketika dalam penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Johannesburg.

Beliau menegaskan kerajaan tidak mempersoalkan kredibiliti FIFA, malah bersetuju dengan pendirian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menekankan pentingnya memberi ruang kepada FAM untuk membela diri mengikut proses ditetapkan.

“Soalan penting ialah sama ada proses dokumentasi di Sepanyol dilakukan sebelum kelulusan diberikan. Itu yang perlu disiasat,” katanya sambil mengakui orang ramai tidak sabar menunggu keputusan, namun prinsip tatacara yang betul mesti dihormati.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan tegas jika FAM didapati bersalah, Anwar menegaskan perkara itu tidak diragui tetapi keputusan hanya boleh dibuat selepas proses selesai.

“Ya, tindakan tegas mesti diambil. Kabinet sudah membincangkannya. Tapi kita ikut proses,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan memupuk bakat tempatan, namun usaha itu memerlukan masa dan pendekatan menyeluruh.

FIFA sebelum ini mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit atas kesalahan pemalsuan dokumen mengikut Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA, termasuk denda CHF350,000 (RM1.8 juta) serta penggantungan 12 bulan kepada semua pemain.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.