JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan rasminya ke Afrika Selatan dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Matamela Cyril Ramaphosa, sebelum meneruskan rangkaian program rasmi termasuk sesi libat urus bersama komuniti perniagaan negara itu.
Pertemuan dengan Ramaphosa dijangka memfokuskan kerjasama strategik Malaysia–Afrika Selatan dalam pelaburan, perdagangan serta agenda pembangunan global menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) yang bakal berlangsung di Johannesburg, 22 hingga 23 November.
Selain itu, Anwar turut dijadual menghadiri forum perniagaan melibatkan kapten industri Afrika Selatan, sekali gus membuka peluang pelaburan baharu dan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala.
Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Houghton sebelum bertemu dengan pemimpin-pemimpin Islam tempatan serta berinteraksi dengan diaspora Malaysia di Johannesburg.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan diplomatik Malaysia di rantau Afrika.
Anwar tiba di Johannesburg pada 6.38 petang Khamis waktu tempatan (12.38 pagi Jumaat waktu Malaysia) bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 atas jemputan Presiden Afrika Selatan. Kehadiran Malaysia pada sidang itu adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Lawatan kerja selama empat hari itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; serta pegawai kerajaan dan delegasi perniagaan Malaysia.
Malaysia berada enam jam lebih awal berbanding Johannesburg.