Saturday, 13, December, 2025
Utama Nasional Bimbang Isu UEC beri kesan perpaduan nasional, dasar pendidikan negara

Bimbang Isu UEC beri kesan perpaduan nasional, dasar pendidikan negara

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menyuarakan kebimbangan terhadap isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana mampu beri kesan kepada perpaduan nasional dan dasar pendidikan negara.

Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad mendakwa, tindakan segelintir pemimpin DAP yang terus membangkitkan isu UEC secara terbuka dilihat seperti memberi tekanan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berapa ramai sebenarnya pelajar UEC di Malaysia dan berapa ramai rakyat Malaysia yang benar-benar bersetuju dengan pengiktirafan UEC ini.

“Adakah kerana DAP menganggap ia penting, maka seluruh rakyat perlu menerimanya tanpa soal” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Mohd Farhan, isu UEC bukan sekadar menyentuh kepentingan satu kaum atau satu parti, sebaliknya melibatkan dasar negara yang memberi kesan langsung kepada sistem pendidikan kebangsaan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Menurutnya, kepimpinan DAP digesa agar tidak menjadikan isu berkenaan sebagai alat menonjolkan diri sebagai wira dalam kalangan penyokong mereka.

“Jika benar mereka ikhlas mahu membawa isu ini ke hadapan, sepatutnya ia dibincangkan secara rasmi di peringkat kementerian atau dibawa ke mesyuarat Kabinet oleh menteri atau timbalan menteri daripada DAP, bukan sekadar membuat kenyataan media untuk meraih simpati politik,” ujarnya.

Beliau turut menegur tindakan sesetengah pemimpin muda DAP yang  menyerang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan tuduhan tidak berasas.

Tegasnya, Pemuda UMNO akan terus konsisten mempertahankan dasar pendidikan negara yang inklusif dan adil untuk semua rakyat tanpa menggadaikan prinsip serta kepentingan nasional.

“Politik sebegini hanya akan memecahbelahkan rakyat dan menjejaskan kepercayaan umum terhadap kerajaan perpaduan.

“Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dalam hal yang menyentuh asas perpaduan dan masa depan negara. Kita akan terus bersuara demi memastikan dasar pendidikan negara kekal utuh dan tidak dipolitikkan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.