Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan cadang guna 40 peranti satelit Starlink di IPT

Kerajaan cadang guna 40 peranti satelit Starlink di IPT

oleh admin

SUNGAI PETANI: Kerajaan bercadang untuk menggunakan 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi dalam usaha menaik taraf capaian internet yang lebih luas dan pantas di kampus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peranti itu diperoleh hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk semalam.

“Saya melawat universiti dan mendengar rungutan daripada pelajar yang bertanya, ‘Dato Seri, bagaimana kita boleh belajar sedangkan internet pelahan.

“Jadi apabila Elon Musk bercakap dengan saya, saya bagi tau Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) semalam untuk beli (peranti Starlink) dengan segera dan kita akan pasang di mana saja universiti yang perlu, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Amanjaya di sini hari ini.

Anwar berkata, peranti tambahan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan lagi kebolehcapaian internet di kawasan luar bandar.

“Elon kata dia boleh berikan kita 40 peranti. Dia juga memberi jaminan semalam bahawa jika kita memerlukan lebih banyak unit, kita juga boleh beli untuk pemasangan di kawasan luar bandar.

“Kita akan memperoleh peranti ini untuk usahawan luar bandar dan projek luar bandar, tetapi kita mulakan dengan universiti, politeknik, dan sekolah yang memerlukan akses internet.

“Peranti ini kecil tetapi ia boleh menukar sambungan internet yang perlahan kepada sambungan segera. Jika tiada internet di sini, ia akan menyediakan internet kerana ia dipautkan secara langsung kepada satelit,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pelaburan Elon di Malaysia adalah berdasarkan kepercayaan syarikat berkenaan dengan kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara ini.

“Kerana dia tahu saya mengetuai kerajaan yang stabil. Dia tahu Anwar, bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), memastikan kerajaan yang kukuh dan jelas dasar ekonomi.

“Beliau mahu tahu ke mana hala tuju kita, keutamaan kita iaitu ekonomi luar bandar, keselamatan makanan dan ekonomi digital.

“Jadi apabila kita membincangkan perkara ini melibatkan orang terkaya di dunia. Dia membuat keputusan untuk membuka ibu pejabat (Tesla) di Cyberjaya tahun ini,”katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com