Friday, 26, December, 2025
Utama EkonomiKerajaan MADANI komited pastikan pelaburan beri manfaat kepada rakyat

Kerajaan MADANI komited pastikan pelaburan beri manfaat kepada rakyat

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI komited memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk ke negara ini memberi pulangan bermakna kepada rakyat, bukan sahaja untuk jangka masa pendek tetapi juga demi kelangsungan ekonomi negara pada masa hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan berkenaan tidak sekadar bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata termasuk peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta kesejahteraan hidup rakyat.


“Pelaburan ini mesti memberi kesan langsung kepada rakyat dengan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan pendapatan dan membina kuasa ekonomi baharu yang lebih berdaya saing serta inklusif,” katanya menerusi catatan di Facebook.


Beliau turut berkongsi infografik prestasi pelaburan negara bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini yang menunjukkan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, meningkat 13.2 peratus dan melepasi rekod pencapaian sebelum pandemik COVID-19.


Menurut Anwar, keyakinan pelabur global terhadap Malaysia turut diterjemahkan melalui tujuh misi pelaburan yang dilaksanakan dalam tempoh sama, yang menjana potensi pelaburan bernilai RM24.5 bilion.


“Sektor bernilai tinggi terus menjadi pemacu utama masa depan ekonomi negara apabila menyumbang RM137.9 bilion atau 48.4 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang direkodkan,” katanya.


Beliau menegaskan kerajaan akan terus memastikan setiap pelaburan selari dengan agenda reformasi ekonomi dan memberi impak jangka panjang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan