PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memerangi rasuah secara tegas tanpa memilih kasih, melibatkan semua pihak sama ada dalam pentadbiran, parti politik, angkatan tentera mahupun perkhidmatan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pendirian itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ketika menyampaikan taklimat terkini berkaitan isu rasuah dalam sesi menghadap di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Menurut Anwar, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa dan akan bertindak berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa, tanpa mengira kedudukan atau hubungan politik pihak terlibat.
“Saya menyampaikan maklumat terkini hasil siasatan badan-badan berkaitan dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur serta tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan daripada mana-mana pihak,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri, di sini.
Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil sama ada melibatkan rakan mahupun lawan politik.
“Kerajaan akan bertindak tegas dalam menangani masalah ini, sama ada melibatkan kawan atau lawan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa pengukuhan tatakelola dan pembanterasan rasuah merupakan dasar utama Kerajaan MADANI, namun mengakui masih wujud saki-baki pihak yang terperangkap dalam budaya lama.
“Masih terdapat saki-baki pihak yang terperangkap dalam kerangka dan pola budaya lama yang bobrok,” katanya.
Beliau menegaskan usaha membanteras rasuah akan diteruskan secara konsisten demi memastikan integriti, ketelusan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuh.