Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Pesawat terhempas di Elmina: Kerajaan sedia ringankan beban waris – PM Anwar

Pesawat terhempas di Elmina: Kerajaan sedia ringankan beban waris – PM Anwar

oleh Ammar Haziq

KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bersedia dengan sebarang bentuk bantuan kepada waris dan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, bantuan berkenaan akan melibatkan kesemua pihak, termasuk kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan.

“Sekarang ini, kita berikan bantuan diperlukan untuk urus jenazah dan apa saja bentuk bantuan, terutamanya kepada waris mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya mohon keluarga terus bersabar. Tiada siapa yang boleh jangka (kemalangan berlaku). Kerajaan akan bantu untuk ringankan beban waris,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas melawat keluarga mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fokus utama ketika ini adalah bagi menyegerakan proses bedah siasat dan mengenal pasti identiti mangsa.

Beliau dalam masa sama menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat serta kecekapan mereka mengendalikan operasi kemalangan tersebut.

Terdahulu, Anwar dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling.

Bagaimanapun, beliau membuat keputusan menuju terlebih dahulu ke HTAR sebelum bergerak ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang.

Beliau sempat meluangkan masa menziarahi waris mangsa yang terlibat dalam nahas terbabit.

Antara yang turut hadir di HTAR, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam kejadian petang semalam, 10 lelaki disahkan maut apabila pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

Antara yang turut terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Ketika kejadian, pesawat tersebut dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com