Tuesday, 27, January, 2026
Utama Negeri1,000 ResQ pek MADANI disalur kepada pelajar B40 UUM sempena musim peperiksaan

1,000 ResQ pek MADANI disalur kepada pelajar B40 UUM sempena musim peperiksaan

oleh Ammar Haziq

SINTOK, 27 Januari 2026 – Sebanyak 1,000 ResQ Pek MADANI berasaskan teknologi pemprosesan makanan retort diagihkan kepada pelajar kategori B40 dan golongan rentan di 16 Inapan Siswa (Inasis), Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena musim peperiksaan.


Agihan itu dilaksanakan menerusi pendekatan jelajah ke setiap Inasis bagi memastikan bantuan makanan berkhasiat dan sedia dimakan sampai terus kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan. Usaha ini dilihat mampu membantu mahasiswa mengekalkan fokus serta kesejahteraan sepanjang tempoh peperiksaan.


Inisiatif berkenaan merupakan usaha bersama Majlis Pengetua Inasis melalui Biro Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM, selaras agenda kebajikan universiti dalam menangani peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada pelajar B40 dan golongan rentan.


Pelaksanaan program turut mendapat sokongan penuh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi universiti terhadap kesejahteraan pelajar melalui pendekatan bantuan makanan yang lebih mampan dan berimpak tinggi.


Agihan ResQ Pek MADANI digerakkan oleh sukarelawan Dapur Siswa MADANI yang terdiri daripada pelajar Inasis PROTON, MAS dan Bank Islam dengan sokongan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara pihak pengurusan universiti dan mahasiswa.


Pengerusi Majlis Pengetua Inasis, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, berkata fasa pertama pelaksanaan menyaksikan penyediaan ResQ Pek MADANI dilaksanakan dengan kerjasama komuniti Bukit Tangga dan Kampung Tradisi, khususnya dalam proses penyediaan masakan serta pembungkusan makanan menggunakan teknologi retort.

“Komuniti ini mempunyai pengalaman menghasilkan produk makanan retort hasil penyertaan dalam latihan Geran Inovasi Sosial bersama pensyarah UUM, sekali gus memastikan aspek kualiti, keselamatan dan nilai nutrisi makanan yang diagihkan berada pada tahap optimum,” katanya.

Beliau menambah, pada fasa seterusnya keseluruhan proses penyediaan dan pembungkusan ResQ Pek MADANI akan dilaksanakan sepenuhnya di Dapur Siswa MADANI selepas penerimaan dua mesin retort yang dibekalkan oleh Pusat Zakat dan Wakaf UUM menerusi wakaf daripada Public Islamic Bank Bhd (PIBB).


Menurutnya, langkah ini bukan sahaja membolehkan pengeluaran makanan dilaksanakan secara lebih berdikari dan mampan, malah membuka ruang latihan kemahiran kepada pelajar serta memperkukuh peranan Dapur Siswa MADANI sebagai pusat keselamatan makanan kampus.


Agihan ResQ Pek MADANI dijangka diteruskan secara berfasa dengan sasaran memperluas liputan kepada lebih ramai pelajar B40 dan golongan rentan bagi memastikan kebajikan mahasiswa UUM terus terpelihara sepanjang pengajian.


Sehubungan itu, alumni UUM serta orang ramai yang berhasrat untuk berinfaq dan menyumbang bagi menyokong kelangsungan Dapur Siswa MADANI boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), UUM untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan