Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Sebuah keluarga terperangkap banjir, budak lapan tahun kejang kaki

Sebuah keluarga terperangkap banjir, budak lapan tahun kejang kaki

oleh Ammar Haziq
Mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

KUBANG PASU, 27 Okt. – Kecekapan pegawai dan anggota bomba meredah air setinggi lebih 1.2 meter (4 kaki) berjaya menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap di rumah mereka akibat banjir kilat di Kampung Telok, Mukim Binjal malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.39 petang.

Setibanya di lokasi katanya, pasukan bomba tersebut mendapati berlaku banjir kilat sedalam kira-kira 1.2 meter dalam keadaan hujan masih renyai.

“Seramai enam anggota terlibat dalam usaha penyelamatan itu. Mangsa terperangkap kerana kedudukan rumah yang terletak di seberang sungai. Mangsa yang terkandas merupakan seorang warga emas, seorang lelaki dan seorang perempuan dewasa, seorang remaja perempuan dan dua kanak-kanak lelaki berusia antara lima hingga 63 tahun.

“Pihak kami akhirnya berjaya membawa kesemua mangsa keluar dengan selamat dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami kekejangan kaki. Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Jitra untuk tindakan dan rawatan susulan,” katanya.

Bomba meredah air sedalam 1.2 meter untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat banjir kilat di Kampung Telok, Mukim Binjal malam tadi.

Tambahnya operasi tersebut tamat kira-kira pukul 11.40 malam.

Dalam pada itu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai bagi menempatkan 27 keluarga yang terjejas dengan banjir.

“Seramai 88 individu daripada 27 keluarga tersebut ditempatkan di PPS berkenaan.

“Selain itu, terdapat dua lagi PPS dibuka di Padang Terap iaitu di SK Tualak dan SK Perik menempatkan keseluruhan 76 daripada 23 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah itu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com