TEL AVIV: Seorang remaja perempuan dirogol bergilir-gilir oleh 30 lelaki di sebuah hotel di Israel pada minggu lalu.
Memetik laporan Haaretz, remaja perempuan yang berusia 16 tahun itu keluar untuk minum bersama-sama rakannya di Eilat.
Menurut polis tempatan, mangsa yang pada ketika itu berada dalam keadaan mabuk kemudiannya ke Hotel Red Sea untuk menggunakan bilik air.
Dia dibawa ke sebuah bilik di hotel tersebut dan dirogol beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.
Polis tempatan dilaporkan berkata rakan mangsa cuba menghentikan kelakuan lelaki-lelaki tersebut tetapi gagal.
Beberapa lelaki dalam kumpulan berkenaan juga dilaporkan merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit mereka.
Pihak polis juga berkata mangsa bukan penghuni hotel tersebut tetapi sekadar meluangkan masa bersama-sama rakan-rakannya di situ.
Setakat ini, dua suspek yang terlibat dalam serangan tersebut ditahan.
Seorang suspek yang berusia lewat 20-an ditahan pada Rabu setelah polis menemui rakaman video insiden tersebut dan mesej yang dihantar kepada mangsa dalam telefon bimbitnya.
Dia memberitahu polis bahawa 30 lelaki melakukan hubungan seks dengan mangsa tetapi mendakwa bahawa ia dilakukan secara suka sama suka.
Suspek kedua pula ditahan pada pagi Khamis.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis mengecam insiden rogol tersebut menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya. – Astro Awani