Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Galakkan berbasikal, bukannya kenakan lesen

Galakkan berbasikal, bukannya kenakan lesen

oleh Ammar Haziq
Cadangan oleh Miros di sebuah akhbar tempatan hari ini.

Persatuan Pengguna Kedah menganggap cadangan MIROS memperkenalkan lesen dan nombor plat keatas basikal adalah tidak wajar.

Pihak kami memantau suara pengguna yang rata-rata menyatakan bahawa cadangan ini amat tidak munasabah dan tidak berasas walaupun diperkenalkan keatas basikal yang berkuasa tinggi dan harga mahal.

Menurut sejarah, lesen dan nombor plat keatas basikal pernah diperkenalkan semasa zaman penjajahan british dahulu. Setelah kita merdeka, tiada lagi lesen dan nombor plat keatas basikal ini. Namun kini kita hendak memperkenalkan semula.

Basikal kini kebanyakkan digunakan untuk tujuan riadah. Ada juga golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai kesedaran alam sekitar menggunakan basikal untuk tujuan pengangkutan utama mereka.

Tidak kurang juga ada anak-anak sekolah yang masih menggunakan basikal untuk ke sekolah dan pergi ke sesuatu tempat sebagai pengangkutan utama.

Sepatutnya kita menggalakkan penggunaan basikal ini kepada masyarakat kerana ianya bebas karbon dan menyihatkan tubuh badan. Langkah memperkenalkan lesen dan nombor plat ini menyebabkan penggunaan basikal ini akan berkurangan.

Untuk mengelakkan kemalangan jalanraya bagi penggunaan basikal seharusnya pihak berkaitan memikirkan kaedahnya seperti menyediakan lorong basikal kepada pengguna basikal.

Sekiranya ada yang hendak konvoy berbasikal secara berkumpulan, mereka perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa dan menetapkan garis panduan kepada kumpulan ini untuk keselamatan mereka.

Oleh yang demikian, Persatuan Pengguna Kedah tidak bersetuju dengan cadangan yang diperkenalkan oleh pihak MIROS.

MOHAMAD YUSRIZAL BIN YUSOFF
SETIAUSAHA
PERSATUAN PENGGUNA KEDAH

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com