Monday, 6, May, 2024
Utama Negeri Amalan ESG UUM diiktiraf global

Amalan ESG UUM diiktiraf global

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah apabila tersenarai di kedudukan 821-840 dalam QS World University Ranking: Sustainability 2024 untuk aspek pematuhan isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Dalam penarafan yang diumumkan hari ini, UUM secara keseluruhan menduduki tangga 491 terbaik dunia dalam aspek tadbir urus daripada 1,403 universiti yang tersenarai di seluruh dunia.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan tersebut membuktikan UUM mempunyai tadbir urus yang terbaik dari segi budaya organisasi yang holistik dan berintegriti, serta tidak berkompromi dengan salah laku pengurusan.

“Penarafan tersebut menyerlahkan cara universiti mengambil tindakan dalam menangani isu dalam tiga kategori berkenaan melalui penyelidikan, pengajaran, tadbir urus yang kukuh serta penglibatan universiti bersama komuniti.

“Menerusi penarafan ini juga, UUM akan terlibat dalam inisiatif global untuk mengukuhkan kelestarian dan menggalakkan pembangunan mampan dengan memastikan generasi pelajar akan datang mendapat pendidikan yang menitikberatkan pemahaman mendalam tentang konsep kelestarian untuk diwarisi kepada generasi seterusnya dalam keadaan terbaik,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, pencapaian UUM dalam penarafan antarabangsa ini secara tidak langsung menjadi penanda aras penting bagi menarik lebih ramai pelajar bukan sahaja dalam negara, malah antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke UUM.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen diberikan dalam memastikan ESG menjadi perkara utama dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti demi memastikan kelestarian UUM dan Malaysia.

Keputusan penuh, boleh layari https://www.topuniversities.com/qs-sustainability-rankings-2024

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com