KUALA NERANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihatkan pemimpin parti tersebut agar tidak mengunakakan media sebagai tempat untuk menghentam di antara satu sama lain.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin UMNO perlu mencari platform yang lebih sesuai untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu.
“Ada medan yang boleh mengeluarkan kenyataan.
“(Sebenarnya) tidak sesuai jadikan media sebagai tempat mengeluarkan kenyataan, carilah kaedah lain,”katanya ketika ditemui selepas Program Sumbangan Sekolah anjuran Yayasan Kemiskinan Darul Aman (Yaked) di Kuala Nerang hari ini.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata demikian selepas diminta mengulas tentang pemimpin-pemimpin UMNO yang seronok mengecam di antara satu sama lain sejak akhir-akhir di media.
Terdahulu beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Munir Zakaria dan ADUN Pedu, Mohd Radzi Mohd Amin menemani 30 pelajar sekolah membeli peralatan sekolah di sebuah pasaraya di Kuala Nerang.
Sebanyak 2,400 pelajar miskin dari daerah Padang Terap menerima baucer RM100 setiap seorang sekaligus meringankan beban keluarga tersebut.