Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri UUM melonjak di tangga 161 Times Higher Education Young University Rankings 2021

UUM melonjak di tangga 161 Times Higher Education Young University Rankings 2021

oleh Ammar Haziq
Kampus UUM di Sintok, Kedah.

SINTOK: Ranking Universiti Utara Malaysia (UUM) melonjak dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2021 apabila disenaraikan di kedudukan 161 berbanding di kedudukan 201-250 pada tahun lalu.

Lonjakan ini sekali gus menjadikan UUM satu-satunya universiti awam di bawah usia 50 tahun di Malaysia yang mencatatkan peningkatan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pencapaian tersebut telah menaikkan lagi reputasi UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka di persada antarabangsa.

Menurutnya, 37 tahun penubuhan UUM telah melayakkan universiti ini menjadi antara universiti terbaik dunia di bawah usia 50 tahun, sekali gus membuktikan UUM terus konsisten mempamerkan peningkatan tahun demi tahun dengan segala usaha selama 3 tahun sejak 2019 yang telah membuahkan hasil melalui pelbagai inisiatif yang diambil.

“Bukan mudah untuk sesebuah universiti yang dilihat masih ‘muda’ untuk berada sebaris atau setaraf dengan univeriti terkemuka lain, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi sekiranya seluruh warga UUM dapat memainkan peranan dan bekerja keras untuk mencapainya.

“Kita berjaya menunjukkan peningkatan dan ia amat membanggakan kerana lonjakan ini melibatkan reputasi universiti dalam pelbagai aspek. Saya berharap kita tidak terus berasa selesa, sebaliknya terus berusaha menjayakan agenda universiti yang lain kerana masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk meletakkan UUM sebaris dengan universiti-universiti ternama dunia,” katanya.

THE Young University Rankings mengguna pakai 13 indikator dalam lima kategori iaitu 30 peratus pengajaran (persekitaran pembelajaran), 30 peratus penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), 30 peratus sitasi (pengaruh penyelidikan), 7.5 peratus pandangan antarabangsa (staf, pelajar dan penyelidikan) dan 2.5 peratus pendapatan industri (pemindahan pengetahuan).

Ranking 2021 ini turut melibatkan 475 universiti seluruh dunia yang berusia bawah 50 tahun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com