Posting ini adalah reaksi kepada posting YB Tan Kok Yew (Adun Derga) dan yang sewaktu dengannya.
Sebagai Wakil Rakyat, bantulah rakyat yang dalam kesusahan mengikut posisi, keupayaan dan kesanggupan masing-masing. Demikian juga penjawat-penjawat jawatan apa sekalipun.
Kerajaan Negeri Kedah akan terus membantu melalui PKOB di setiap Daerah dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN dan Parlimen (Kerajaan). Orang ramai boleh terus menghubungi PKOB dan PKWR di Daerah masing-masing.
Tanpa bendera putih pun, selama lebih setahun kita menghadapi beberapa kali PKP 1.0, 2.0, 3.0, PKPB dan PKPD, kerajaan telah menyediakan lebih seratus ribu bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan.
Puluhan ribu lagi melalui PKWR DUN dan Parlimen.Kita bina sistem dan mekanisme pengagihan yang terbaik dan selamat untuk semua pihak. Disamping sedia membantu, kita perlu pastikan tiada bantuan berganda-ganda kepada rumah yang sama.
Kita perlu patuhi SOP PKP, menghadkan orang mundar mandir dan kita akan beri lebih jika perlu. Kita hantar ke rumah supaya orang ramai tidak perlu bersesak keluar. Kita kenal jiran dan sanak saudara sekampung dan setaman. Jika tidak dapat hubungi sendiri, jiran dan sanak saudara akan tolong hubungi pihak berwajib.
Kejiranan dan persaudaraan inilah membentuk kehidupan yang harmoni dan barakah. Ini cara Kedah, bukan bandaraya KL atau Kotaraya Georgetown yang hidup sendiri-sendiri. PKWR Adun dan MP Kerajaan juga turut menghulurkan bakul makanan dan pelbagai jenis bantuan tanpa jemu-jemu, tanpa henti, tanpa mengungkit, tanpa menghentam sesiapa, tanpa pilih bulu, tanpa banyak bertanya, tanpa mempolitikkan sumbangan kita dan tanpa bendera.
Kakitangan agensi kerajaan yang bertugas di PKOB dan petugas PKWR bekerja siang malam membantu, tanpa memandang bendera. Kita pergi ke setiap lorong dan kampung di mana saja ada orang membuat panggilan atau makluman melalui apa saja cara.
Pegawai Daerah sebagai Pengarah PKOB dibantu Pegawai JKM, Penerangan, Ahli Majlis PBT, Rela, APM, Polis, ATM, Penghulu, Lembaga Zakat Kedah (LZK), Imam dan JPKK memantau setiap masa. LZK sejak setahun lalu sediakan food bank di 578 buah masjid, boleh diambil secara percuma.
Yang berat kaki melangkah ke masjid sahaja mungkin bermasalah, yang lain baik-baik saja.Saya faham maksud menaikkan bendera putih sebagai satu inisiatif yang murni daripada NGO yang prihatin, tetapi bila ia mula dirampas dan dijadikan alat politik oleh pembangkang khususnya PAN dan DAP, untuk menggambarkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terputus bekalan makanan, maka ia sudah tidak putih lagi.
Campurtangan mereka itu sentiasa membawa kecomotan kepada niat yang murni. Kenapa sejak dua tiga hari lalu, pembangkang seperti baru bangun dari tidur tiba-tiba bercakap tentang bendera putih, bendera putih, bendera putih, bukan pasal jumlah bakul makanan yang telah mereka sumbangkan?
Adakah bila lebih banyak bendera putih dinaikkan lebih bagi PAN dan DAP? Kamu diam pun orang tahu jawapannya.Jika tiada duit, malu meminta derma (seperti YB-YB PAS buat) atau memang kedekut untuk berkorban harta sendiri, semua wakil rakyat pembangkang boleh membantu mereka yang perlukan bakul makanan dengan menyalurkan maklumat kepada PKOB.
Beri nama dan alamat mereka, petugas PKOB akan hantar. Jika sukar menembusi Hotline PKOB pada waktu puncak, beri nama-nama itu kepada wakil Rakyat kerajaan. Saya jamin, sikap mereka tidak seperti kamu, mereka akan bantu.
Pejabat saya pernah menghantar bakul makanan kepada 23 penama yang dikirim oleh Ketua Pembangkang DUN Kedah dalam DUN beliau. Ia tidak sedikitpun menyusahkan, tapi ia adalah kegembiraan buat kami untuk terus membantu.
Ya! Kami lakukan tanpa bendera yang pembangkang mahu sangat orang ramai pakat-pakat pasang. Mekanisme menyampaikan bantuan yang sedia ada ini akan terus terpakai di Kedah.
Kedah cara Kedah. Tanpa bendera apa pun, kita telah lama menghulurkan tangan meringankan beban. Kedah ini kami jadikan tempat berteduh orang miskin- tempat berbakti bagi orang kaya.
Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.
Kredit FB Muhammad Sanusi Md Nor