Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Mada siap-siaga hadapi fenomena El Nino

Mada siap-siaga hadapi fenomena El Nino

oleh Ammar Haziq
Empangan Ah Ning berada pada paras 97.4 peratus setakat 10 Mei. FOTO MADA

Fenomena El-Niňo atau cuaca kering yang dijangka berlaku pada Mei 2023 berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi Musim 1/2023 di Kawasan Muda. 

Dalam menghadapi fenomena El-Niňo, pihak MADA sentiasa mengutamakan kepentingan aktiviti tanaman padi dan sentiasa memantau keadaan cuaca semasa serta pelaksanaan kemajuan aktiviti di peringkat sawah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna mengikut fasa yang ditetapkan serta memastikan penanaman padi Musim 1/2023 berjalan lancar. 

     

    Sumber air utama pengairan padi bagi Musim 1/2023 adalah daripada pelepasan empangan dan bekalan air pengairan adalah mencukupi mengikut fasa-fasa pengairan Jadual Penanaman Padi Musim 1/2023.

     

    Status keseluruhan takungan empangan sehingga 10 Mei 2023 adalah berada pada tahap baik dan mencukupi bagi menampung keperluan aktiviti tanaman padi Musim 1/2023 di Kawasan Muda di mana kapasiti takungan Empangan Pedu 71.89%, Empangan Muda 55% dan Empangan Ahning 97.47%. Jumlah takungan ketiga-tiga empangan adalah sebanyak 915,098 ekar kaki adalah mampu untuk memenuhi keperluan sumber air pengairan Musim 1/2023.

     

    Sehingga 10 Mei 2023, status kemajuan aktiviti penyediaan tanah bagi Musim 1/2023 tidak terjejas walaupun jumlah turunan hujan di Kawasan Muda bagi tempoh Januari sehingga awal Mei 2023 merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 343mm berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 439mm.

     

    Pihak MADA sentiasa peka dengan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku keadaan El-Niňo sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

     

    Pada masa sama, MADA turut mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena El-Niňo dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan dan pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah.

     

    Para peladang dinasihatkan supaya mempercepatkan aktiviti dan mematuhi jadual penanaman padi yang telah dikeluarkan. Peladang juga disyorkan untuk menjalankan putaran basah serta aktiviti penanaman mengikut fasa yang telah ditetapkan.

     

    Kerjasama peladang menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah adalah penting bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

    Dikeluarkan Oleh :

    Cawangan Komunikasi Korporat

    Lembaga Kemajuan Pertanian Muda – MADA

    10 Mei 2023

    Artikel Berkaitan

    © Copyright 2023 | kedahgazette.com