MENTERI PENGAJIAN TINGGI DAN NAIB CANSELOR UA SANTUNI PELAJAR DI YAN
UUM ONLINE: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama Naib Canselor Universiti Awam menyantuni mahasiswa dalam program Walkabout Menteri Pengajian Tinggi – Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin Di Zon Utara.
Dalam kunjungan itu, beliau turun ke kampung sekitar Yan untuk menyerahkan surat tawaran kemasukan ke IPT kepada 11 pelajar serta beramah mesra dengan keluarga yang terkesan ekoran bencana kepala air Ogos lalu.
“Tahniah kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke UUM dan semestinya surat tawaran kemasukan ini amat menggembirakan para pelajar,” ujarnya yang sempat meninjau lokasi banjir serta jambatan runtuh.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyifatkan keprihatinan menteri turun melihat kawasan yang dilanda bencana dan berjumpa dengan pelajar yang terkesan dengan bencana di Yan merupakan satu langkah terbaik.
“Hari ini kita dapat menyempurnakan satu program bersama menteri yang menyampaikan sendiri surat tawaran kepada pelajar bagi semester yang akan bermula Oktober depan.
“Saya berasa amat gembira dengan pendekatan baharu yang dibawa oleh menteri yang turut disertai pengurusan tertinggi KPT, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Naib Canselor Universiti Awam.
“Dari sudut positif, saya lihat bencana di Yan dapat mendekatkan KPT dengan rakyat dan kita amat gembira Kedah dan UUM menjadi sebahagian daripada usaha murni ini,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, walaupun pandemik belum reda beliau mengalu-alukan kedatangan pelajar ke kampus memandangkan UUM telah membuat persiapan rapi dari pelbagai segi bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan selesa dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kita menantikan kehadiran mereka ke kampus namun sekiranya mereka memilih untuk belajar dari rumah kita tetap bersedia dengan mengendalikan program pengajian dan pembelajaran secara atas talian,” jelasnya.
Bagi Nurin Andriana Mohamad Subri, beliau sama sekali tidak menduga akan menerima lawatan daripada menteri dan Naib Canselor UUM ke rumahnya di Kampung Kuala Dulang Kechil, Yan.
“Alhamdulillah saya sangat teruja, bertuah dan pada masa sama rasa terharu kerana terpilih untuk menerima kunjungan yang tidak disangka-sangka tambahan pula, ini merupakan pengalaman pertama menerima kunjungan seumpama ini sehingga berasa sedikit gementar.
“UUM merupakan antara universiti terbaik di Malaysia sebab itulah saya memilih UUM dan alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana diberi peluang mempelajari bidang Sains Komputer yang diidamkan selama ini,” luahnya.
Nurin yang akan memulakan pengajian pada bulan hadapan berharap dapat menyesuaikan diri dalam mengikuti pembelajaran norma baharu seterusnya menghabiskan pengajian dengan cemerlang.
Selain Nurin, seorang lagi pelajar, Nurul Nor Fazliana Ideris turut menerima surat tawaran bagi mengikuti program pengajian Sarjana Muda Perbankan di UUM.
Sejurus selepas itu, Prof. Dr. Haim Hilman turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar UUM yang terlibat dalam tragedi bah di Yan.