Pasukan Sungai Tiang muncul juara Widad K League Piala Menteri Besar 2022 selepas menewaskan Pengkalan Kundor 1-0 pada pentas akhir di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Jaringan tunggal Abdullah Yusof cukup untuk membantu pasukan tersebut muncul johan dan membawa pulang hadiah RM10,000.
Sementara itu, Pengkalan Kundor pula membawa pulang RM5,000 dan hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah dan Setiausaha KFA, Mohd Firdaus Ahmad.
Sebanyak 35 pasukan mengambil bahagian pada kejohanan ini bermula 3 Jun sehingga 5 Ogos bagi mencungkil bakat di peringkat akar umbi di seluruh Kedah.
Ketua jurulatih Sungai Tiang, Muhammad Zulkifli Jaafar berkata, Piala Menteri Besar Kedah menjadi pentas yang baik kepada bakat-bakat muda untuk menonjolkan kemampuan mereka.
“Kejohanan seperti ini perlu diperbanyakkan lagi kerana berjaya mencari bakat-bakat yang berada di kampung-kampung. Sebelum ini kita bergantung kepada Piala Belia dan Piala Presiden sahaja,” katanya.
Perkara sama dinyatakan oleh Ketua Jurulatih Pengkalan Kundor, Dr Abdul Hadi Salleh yang melihat pemain muda perlu sentiasa didedahkan dengan kejohanan ini dari semasa ke semasa.